Kerajaan Malaysia telah menunjukkan keperihatinan yang tinggi terhadap amalan budi bahasa dengan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni pada Januari 2005, dan sehingga tahun 2010, pelbagai program disusun atur pada peringkat kebangsaan, negeri, mahupun pada peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa usaha memperkukuh amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat adalah satu agenda penting negara. Walau bagaimanapun, dalam mengharungi era globalisasi ini nilai murni yang telah dipusakai sejak turun-temurun semakin luntur. Penggunaan kata yang dikaitkan dengan kesopanan berbahasa semakin tidak dititikberatkan. Penutur-penutur bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan remaja sudah mula menampakkan sikap tidak mengendahkan penggunaan kata-kata yang dapat menggambarkan kesopanan berbahasa.
Bahasa, baik secara formal atau tidak formal, secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga tingkat utama, iaitu bahasa halus atau sopan, bahasa kasar, dan bahasa kesat. Dalam konteks menolak pelawaan seseorang, ketiga-tiga jenis bahasa ini akan digunakan mengikut situasi ajakan.
(Dipetik daripada jurnal Political Managements and Policies in Malaysia Kesantunan Bahasa Dalam Kalangan Pelajar IPT: Satu Kajian Perbandingan Etnik oleh: Nasariah Mansor, Faizah Ahmad & Yusniza Yaakub)
Mari kita lihat penolakaan pelawaan secara halus:
- "Saya benar-benar minta maaf . Saya ada urusan di dewan kuliah selepas ini. Boleh tak awak minta orang lain temankan awak? Saya harap awak faham."
- "Maafkan saya. Pukul 2 petang nanti, saya ada aktiviti GERKO. Boleh tak kita tangguh perjumpaan kita pada pukul 8 malam nanti? Harap awak tak ambil hati."
Ini pula penolakan secara kasar:
- "Kenapa pula kau nak bawa aku keluar? Tak nak lah. Kau tak nampak ke aku nak tidur ni? Pergi saja lah seorang!"
- "Aku? Asyik-asyik aku. Kau ni memang tak boleh tengok orang senag kan? Ish!"
- "Kurang ajar betul lah kau ni! Aku baru je nak tidur dah kau kacau aku! Pergi mampuslah, bangang!!"
- "Celaka!! Kau ni memang cari nahas betul lah kan? Kau dah nampak aku dah pakai selimut, kau masih lagi bawa aku keluar makan? Kau pergi je lah sorang-sorang. Jangan kacau aku ye."
Dialog-dialog di atas merupakan antara cara penolakan yang sering digunakan oleh penuntut-penuntut di Institut Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia. Oleh itu, semua penuntut adalah diharapkan agar menggunakan bahasa yang halus ataupun bahasa yang sopan bukan sahaja dalam konteks menolak pelawaan tetapi juga semasa berbicara dengan orang lain. Ingat, " Budi Bahasa, Budaya Kita". Renung-renungkan dan selamat beramal.
(Sumber: eyfaaliasstory.blogspot.com )
No comments:
Post a Comment