Kesantunan berbahasa ialah kehalusan budi
bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan
bahasa. Supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Hanya
kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej
tertentu.
Apakah remaja dewasa ini menggunakan bahasa yang sopan? Isu ini banyak diperkatakan dalam masyarakat hari ini. Penggunaan bahasa dalam kalangan remaja masa kini menimbulkan keresahan banyak pihak. Bahasa merupakan medium untuk mengungkapkan pemikiran dan menyampaikan perasaan penuturnya. Lebih daripada itu, bahasa juga akan menggambarkan keperibadian, latar belakang dan tahap pendidikan seseorang itu.
Amalan bahasa rojak bermakna tabiat yang suka mencampur-adukan perkataan
bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa
dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih
memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam golongan
berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat.
Penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan
pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan
bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam
penghantaran system pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebgai
amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi
seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri.
Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan
dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa
rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi
kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang
lagi bersuluh bahawa pembelajaran di peringkat sekolah mahupun di peringkat IPT
akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan.
Keluarga mempunyai pengaruh yang besar ke atas penggunaan bahasa seharian dalam kalangan anak-anak. Penggunaan bahasa
rojak dalam keluarga akan menyebabkan anak-anak membesar dengan penggunaan
bahasa yang sedemikian dan anak-anak akan menggunakannya dalam pengucapan
harian di luar rumah sehingga ke sekolah. Latar belakang keluarga yang tidak
stabil seperti ibu bapa yang sering bertelagah di hadapan anak-anak selalunya
menggunakan bahasa dan nada kurang baik juga boleh sehingga meninggalkan kesan
dalam diri anak-anak mereka.
Penggunaan bahasa yang tidak sopan dalam kalangan remaja juga berpunca
daripada pengaruh media massa. Laras bahasa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) dan
laras bahasa internet yang digunakan dalam laman sosial yang menjadi kesukaan
para remaja iaitu Facebook, Twitter, Yahoo Messenger dan sebagainya banyak
mempengaruhi para remaja masa kini. Begitu juga pembacaan daripada blog dalam
internet banyak memberi kesan kepada para remaja.
Nilai berbudi bahasa dan pengamalan adat resam yang sopan tidak lagi
menjadi pegangan lantaran dipengaruhi unsur-unsur negatif seperti
individualistik dan kebebasan tanpa batasan.
Ketidaksopanan dalam pertuturan inilah juga menyebabkan tindakan fizikal
yang dilakukan oleh para remaja menjadi tidak bermoral dan mudah terlibat
dengan usur-unsur negatif dan budaya daripada acuan Barat dijadikan sandaran
maju dan moden. Sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar
tertib, dan peraturan, menjadi sebahagian yang melatari watak remaja.
Sekiranya remaja masa kini terus alpa
dengan gaya hidup mereka, tentunya akan memberi kesan kepada negara pada masa
depan, kerana remaja hari ini pastinya suatu
hari nanti akan berada di barisan hadapan untuk mengambil alih tampuk pimpinan
keluarga, masyarakat dan negara.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
Dalam menangani permasalahan ini, institusi keluarga yang paling utama
hendaklah memainkan peranan untuk membimbing anak-anak mereka dalam membentuk
gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ibu bapa hendaklah bertegas supaya
anak-anak terbiasa dengan disiplin dan pertuturan yang sopan walau di mana
mereka berada.
Pihak sekolah juga hendaklah mengambil berat dalam perkara ini. Pelajar
hendaklah tidak sahaja dipantau dari segi tingkah lakunya, tetapi juga adab
sopan terutamanya berkaitan dengan pertuturan yang diucapkan semasa berada di
sekolah.
Sudah sampai masanya para remaja menjalani transformasi dalam pengamalan
nilai murni melalui kesantunan berbahasa dalam sistem pendidikan. Nilai
kesantunan ini perlu diterapkan kerana nilai ini akan menggambarkan hati budi,
akal budi dan sahsiah penuturnya. Kita sesungguhnya ingin melihat remaja hari
bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi tetapi juga memiliki
sahsiah yang berkeperibadian mulia yang akan menjadi kebanggaan semua.
No comments:
Post a Comment