Budi bahasa budaya kita

Budi bahasa budaya kita
Budi bahasa budaya kita

Thursday, 3 October 2013

Salam Ukhwah @ Pengenalan

Assalamualaikum WBT. Blog ini ditubuhkan pada 1 Oktober 2013 dan bertujuan untuk mempromosikan tentang Kesantunan Masyarakat di Malaysia. Blog ini akan memberi maklumat kepada pengguna tentang isu-isu kesantunan dalam bidang pendidikan. Seperti yang kita semua tahu, Bahasa Melayu tidak lagi digunakan dengan betul pada zaman globalisasi kini. Ramai masyarakat yang mengambil ringan tentang hal ini dan menyebabkan bahasa kebangsaan semakin terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu, blog ini akan membantu para pengguna agar dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan betul tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa yang lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan sebagainya. Isu-isu yang bakal dibincangkan ialah isu yang kerap dibahaskan cuma tidak begitu popular di kalangan masyarakat kerana kurangnya pendedahan terhadap isu ini. Kami amat berharap agar blog ini dapat membantu para pengguna untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan dan efektif. Terima Kasih.

Konsep Kesantunan

Terdapat banyak pendapat bagi definisi kesantunan yang telah di utarakan oleh para cendekiawan baik dari Malaysia sendiri mahupun dari dunia luar. Salah satu daripadanya adalah Lakoff di mana beliau menyatakan bahawa kesantunan adalah perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Bagi Fraser dan Nolan pula, konsep kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.

Menurut Osmah Haji Omar pula, kesantunan ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Bagi pendapat Bayraktaroglu pula, kesantunan itu merupakan perlakuan yang diamalkan untuk membina kesefahaman bagi mengelak ancaman dan ketegangan yang boleh menyebabkan hubungan mereka yang terlibat dalam perbualan menjadi renggang.

Dari sudut perspektif agama pula, Islam terutamanya telah meletakkan nilai-nilai yang terdapat dalam ajaran agama Islam itu sendiri sebagai garis panduan untuk konsep kesantunan masyarakat Melayu itu sendiri. Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa konsep kesantunan ini merupakan satu platform perlakuan berbahasa dan bukan berbahasa yang dilakukan atas keikhlasan kerana Allah Taala.